Navigation
Account
Cart 0 items for RM0.00

No products in the cart.

APA YANG SAR HARAP KITA BUAT BILA SESAT DI HUTAN?

APA YANG SAR HARAP KITA BUAT BILA SESAT DI HUTAN?

.

Ramai orang fikir jalan keluar itu perlu dicari segera. Tapi sebenarnya berhenti di tempat yang betul lebih menyelamatkan nyawa seorang pendaki. Dalam keadaan panik, langkah yang salah boleh bawa kita makin jauh. Bukan berlari. Bukan menjerit tanpa arah. Tapi bertenang dan fikir dengan waras.
.
𝗞𝗲𝗻𝗮𝗽𝗮 𝗠𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 𝗦𝗲𝘀𝗮𝘁 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗹𝘂 𝗦𝘂𝘀𝗮𝗵 𝗗𝗶𝗷𝘂𝗺𝗽𝗮𝗶?
Bukan sebab SAR datang lambat. Selalunya sebab mangsa terus bergerak dan meninggalkan kawasan carian asal. Gelap boleh dilawan dengan cahaya. Tapi panik boleh buat kita hilang arah, tenaga dan pertimbangan.
.
𝗞𝗮𝗹𝗮𝘂 𝗦𝗲𝘀𝗮𝘁, 𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗗𝗶𝗮𝗺 𝗗𝘂𝗹𝘂.
Kekal di tempat selamat adalah keputusan paling bijak. Ilmu Ketika ini boleh jadi penyelamat. Terutama bila telefon tiada line dan jalan keluar mula kelihatan sama. Sekali tersalah simpang, semua orang boleh jadi mangsa. Yang membezakan ialah cara kita bertindak selepas itu.
.
Dalam dunia outdoor, antara perkara yang paling ramai takut ialah sesat. Tak kisah sama ada kita baru mula hiking atau sudah banyak kali masuk hutan, risiko itu tetap ada. Kadang-kadang bukan sebab kita cuai sangat pun. Laluan boleh berubah, cuaca boleh bertukar, tanda di trail boleh hilang, dan badan yang penat boleh buat kepala mula susah untuk berfikir dengan jelas.
.
Ramai orang bila sedar diri sudah sesat akan terus berjalan untuk cari jalan keluar. Nampak macam tindakan yang logik sebab kita rasa kalau terus bergerak, mesti akan jumpa jalan. Tapi dalam banyak keadaan, itulah yang boleh buat keadaan jadi lebih susah. Bila panik, kita cenderung untuk ikut rasa hati, bukan ikut arah yang betul. Akhirnya kita berjalan makin jauh dari lokasi asal dan kawasan carian untuk pasukan SAR pun jadi makin luas.
.
𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝗿𝗮 𝗽𝗲𝗿𝘁𝗮𝗺𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗮𝗹𝗶𝗻𝗴 𝗽𝗲𝗻𝘁𝗶𝗻𝗴 𝗶𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗯𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗮𝘄𝗮𝗹 𝗽𝗮𝗻𝗶𝗸. Bukan mudah, sebab bila kita mula rasa sunyi, gelap, lapar atau telefon tiada line, kepala memang cepat fikir yang bukan-bukan. Panik buat kita guna tenaga lebih banyak & buat keputusan terburu-buru. Seeloknya kita tinggalkan tanda yang boleh membantu orang mencari kita.
.
Dalam situasi begini, prinsip yang selalu digunakan ialah 𝗦𝗧𝗢𝗣. Maksudnya 𝗯𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶, 𝗳𝗶𝗸𝗶𝗿, 𝗽𝗲𝗿𝗵𝗮𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗮𝗱𝗮𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗲𝗹𝗶𝗹𝗶𝗻𝗴 𝗱𝗮𝗻 𝗿𝗮𝗻𝗰𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗶𝗻𝗱𝗮𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝘁𝗲𝗿𝘂𝘀𝗻𝘆𝗮. Ini nampak macam ilmu asas, tapi asas inilah yang ramai lupa bila keadaan sebenar berlaku. Bila kita berhenti sekejap, kita boleh ingat semula dari mana datang, apa tanda terakhir yang nampak, berapa lama sudah berjalan, dan kawasan mana yang lebih selamat untuk kita tunggu bantuan.
.
𝗣𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗔𝗥 𝗯𝗶𝗮𝘀𝗮𝗻𝘆𝗮 𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵 𝗺𝘂𝗱𝗮𝗵 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗮𝗿𝗶 𝗺𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗲𝗿𝗴𝗲𝗿𝗮𝗸 𝘁𝗲𝗿𝗹𝗮𝗹𝘂 𝗷𝗮𝘂𝗵 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗮𝗿𝗮𝗵. Sebab carian selalunya bermula dari lokasi terakhir yang diketahui. Kalau mangsa terus berjalan, kawasan carian akan jadi makin besar. Dalam hutan, beza beberapa ratus meter pun boleh jadi sangat besar, lebih-lebih lagi kalau kawasan berbukit, berakar, bersemak atau terdapat aliran air atau sungai.
.
Sebab itu, kalau kita sedar diri sudah hilang arah, cuba cari kawasan yang lebih selamat untuk berhenti. Elakkan duduk di tepi cerun, bawah pokok mati, kawasan sungai yang boleh naik air, atau tempat yang terlalu tersembunyi. Cari kawasan yang lebih terbuka sedikit, yang mudah untuk dilihat dan lebih selamat untuk berlindung. Kalau ada hujan, lindungi badan daripada kesejukan. Kalau malam, jangan buang tenaga berjalan tanpa arah yang jelas.
.
𝗜𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝘁 𝗷𝘂𝗴𝗮 𝘀𝗮𝗻𝗴𝗮𝘁 𝗽𝗲𝗻𝘁𝗶𝗻𝗴. Kalau ada wisel, gunakan tiga tiupan berulang sebagai tanda kecemasan. Kalau ada lampu, gunakan cahaya untuk menarik perhatian. Kalau ada pakaian warna terang, letakkan di tempat yang mudah dilihat. Kalau masih ada bateri telefon, jimatkan penggunaan dan cuba hantar lokasi terakhir kepada ahli keluarga atau kenalan. Jangan habiskan bateri untuk perkara yang tidak membantu.
.
Gear yang kecil seperti wisel, headlamp, emergency blanket, powerbank, poncho dan first aid boleh jadi benda yang sangat besar nilainya bila keadaan mula jadi tidak terkawal. Tapi dalam masa yang sama, gear tidak akan banyak membantu kalau kepala kita sudah kalah dengan panik.
.
Duduk di tempat selamat, buat isyarat, jimat tenaga dan tunggu bantuan adalah pilihan yang lebih bijak. Jadi sebelum masuk hutan, jangan hanya fikir kasut apa nak pakai atau beg apa nak bawa. Fikir juga apa yang perlu dibuat kalau rancangan tidak menjadi. Kalau satu hari nanti kita sedar diri sudah hilang arah, ingat satu perkara ini. Jangan terus jadi berani tanpa arah. 𝗕𝗲𝗿𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶 𝗱𝘂𝗹𝘂. 𝗧𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗶𝗿𝗶. 𝗣𝗲𝗿𝗵𝗮𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗮𝗱𝗮𝗮𝗻. 𝗥𝗮𝗻𝗰𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗮𝗸𝗮𝗹. Itu mungkin langkah paling penting untuk pulang dengan selamat.
.
Admin percaya, komuniti outdoor yang kuat adalah komuniti yang saling berkongsi ilmu, saling mengingatkan dan tidak malu untuk belajar perkara asas. Kalau korang pernah sesat, hampir sesat, atau ada pengalaman bantu kawan yang sesat, kongsikan di ruangan komen. Mungkin pengalaman korang boleh jadi ilmu yang menyelamatkan orang lain satu hari nanti.
.
Back to top